This Content Is Only For Subscribers
PEMIMPIN PAS Sabah optimis Perikatan Nasional (PN) mampu membuat kejutan dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Pesuruhjaya PAS Sabah Aliakbar Gulasan berkata, ketika parti-parti lain masih teragak-agak dalam membentuk gabungan kerjasama – PN sudah membuat keputusan untuk berdiri sendiri di negeri itu.
“Dalam konteks semasa PN mampu membuat kejuatan walaupun berdiri sendiri, sebab PN ini sebuah parti yang pernah memerintah Malaysia dan sebahagian parti yang menjadi kerajaan Sabah.
“PN juga bersedia menawarkan calon-calon yang sudah bekerja di lapangan, bukan calon yang baru muncul pada musim pilihan raya semata-mata.
“Selain itu, PN Sabah juga tidak pernah terpalit dengan sebarang kes rasuah dan salah guna kuasa,” katanya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Dia berkata demikian ketika ditanya mengenai keyakinan untuk PN mencabar lawan dalam PRN ke-17 nanti, mengambil kira perkembangan semasa di negeri itu.
Pada PRN 2020, PN memenangi sebanyak 17 daripada 73 kerusi DUN, dan turut membentuk kerajaan negeri bersama GRS, BN dan Parti Bersatu Sabah.
Ditanya mengenai pandangan sesetengah pihak yang mendakwa wujudnya stigma bahawa masyarakat Sabah menolak PAS atas faktor sentimen agama, Aliakbar berkata perkara itu hanyalah pandangan terpencil.
Dia yang juga Adun lantikan Sabah berkata, mungkin ada segelintir orang berpandangan sedemikian namun ia bukanlah satu stigma yang konkrit.
“Kita tak nafi sebab kebebasan berfikir di kalangan masyarakat. Secara umum pengalaman saya bersama masyarakat Sabah dalam pelbagai segmen dan progam, saya rasa perkara itu tidak menjadi satu stigma.
“Mungkin ia hanya pandangan-pandangan yang terpencil yang menganggap pas tidak boleh diterima dan sebagainya, saya boleh katakan satu Sabah kita masuk dengan keadaan yang sangat harmoni.
“Walau kita pakai lambang parti pun tiada tentangan dan halangan, saya rasa mungkin itu hanyalah sebahagian daripada provokasi pihak tertentu,” jelasnya.
Tambahnya lagi, PAS Sabah juga menunjukkan perkembangan pengaruh yang positif berdasarkan penubuhan PAS kawasan di 22 daripada 25 kawasan parlimen di negeri itu.
“Kita boleh masuk dan tubuhkan 22 PAS kawasan daripada 25 kawasan parlimen, ini semua masyarakat tempatan yang buka (PAS kawasan) di sana, bukan masyarakat luar.
“Maknanya, kalau itulah indikatornya boleh kata hampir 90 peratus (kawasan) kita diterima, ia satu angka yang positif,” kata Aliakbar.



